BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 11, 2009

Lelaki BERBAHAYA! – Adakah Anda Terlibat Dengan Mereka?

Ingin mencari pasangan hidup dan cinta sejati adalah lumrah kita sebagai manusia. Sebagai wanita pula, kerisauan takut tersilap pilih pasangan adalah lebih dari lelaki.

Ini kerana sekiranya wanita tersilap pilih lelaki, maka kesan buruk yang bakal dilalui dalam hidup memberi kesan dan trauma yang mendalam terhadap emosi dan kehidupan mereka seterusnya.

Walaupun semua wanita tahu wujudnya lelaki yang ‘berbahaya’ namun masih ramai wanita tanpa sedar atau tidak terlibat bertemu dan berpasangan dengan mereka.

Kenapa masih ramai juga wanita terlibat memilih lelaki berbahaya?

Adakah mereka sengaja melibatkan diri dengan mereka? Tak mungkin!

Adakah mereka dikaburi dengan perasaan kesunyian dalam hidup dan amat memerlukan cinta dan kasih-sayang sehingga membuat pilihan yang salah?

Adakah mereka mempunyai tabiat atau sikap yang tak disedari dari dulu lagi yang menyebabkan mereka sentiasa memilih dan terlibat dengan lelaki berbahaya?

Adakah cara mereka dibesarkan dalam keluarga yang porak-peranda dan kurang perhatian menyebabkan mereka cenderung ke arah memilih lelaki seperti ini tanpa mereka sedar?

Atau adakah dengan mudah kita nak menyatakan itu adalah takdir yang Maha Esa?

Saya tertarik untuk menulis artikel berkaitan dengan lelaki berbahaya ni sebab pada pandangan saya, (anda pun mungkin setuju..) semakin hari semakin ramai wanita yang terlibat berpasangan dengan lelaki yang berbahaya. Tak kiralah sama ada sebagai teman lelaki mahu pun wanita yang telah berumahtangga.

Satu perkara yang memang pasti, wanita Tak Sedar dan Tak Tahu pun pada awal perkenalan atau perhubungan bahawa lelaki yang menjadi pasangannya itu berbahaya.

Macamana nak tahu seseorang lelaki itu berbahaya atau tidak? Ada ramai lagi ke lelaki yang betul-betul baik dan “sihat” dalam dunia ni?

Ada, kalau anda sendiri “sihat” dari segi emosi dan mempunyai pengetahuan yang berkaitan.

Ini membolehkan anda sekiranya berjumpa dengan lelaki jenis ini dan mengenalinya, anda mampu menghadapi dan seterusnya menjauhkan dia dari hidup anda. Hasilnya, anda boleh menumpukan masa, tenaga dan emosi untuk memfokuskan kepada lelaki yang baik dan sihat emosinya.

Adakah anda memahami peranan dan keadaan diri anda seterusnya menggunakan pengetahuan yang ada untuk mengubah keadaan supaya hidup anda berubah dan lebih selamat?

Artikel kali ini, saya terangkan dengan ringkas siapa dia yang dikatakan lelaki berbahaya supaya sekurang-kurangnya dapat membantu anda melihat dengan lebih luas lagi konsep tersebut.

Siapa lelaki yang berbahaya?

Lelaki yang boleh dikategorikan sebagai berbahaya kepada anda wanita ialah:

“Lelaki yang merosakkan/mengganggu/menyakitkan dan mendera pasangannya secara percakapan, emosi, fizikal, seksual, spiritual, undang-undang dan juga kewangan.”

Secara Percakapan termasuk mengugut anda, memaki-hamun, meninggikan suara seperti selalu menengking dan menghina maruah anda dengan perkataan.

Penderaan emosi pula termasuk mengawal dan mendominasi dengan tidak membenarkan atau memberi anda peluang untuk membuat pilihan. Contohnya, anda nak berpakaian pun nak kena ikut sedap mata dia saja malah cara anda berpakaian perlahan-lahan ditentukan olehnya.

Dia kerap mengkritik anda yang akhirnya membuatkan anda berasa terlalu rendah diri. Cemburu buta yang melampau sampai anda nak berkawan pun tak boleh. Segala yang anda buat mesti bagi tau dia dan mendapat izin darinya. Pendek kata putih kata dia maka putih la anda ikut.

Memalukan anda dan merendahkan anda di hadapan orang lain juga antara bentuk deraan emosi. Kadang-kala memandang anda macam “nak makan” supaya anda sentiasa patuh dan takut padanya.

Secara Seksual boleh dikatakan seperti memaksa pasangan/isteri melakukan hubungan seks di luar tabii, memaksa menonton filem lucah, dan memaksa pasangan/isteri melakukan seks di luar kehendak isteri sebagai contoh memaksa isteri melakukan seks sewaktu isteri dalam haid sedangkan isteri menolak.

Secara Kewangan pula faham-faham je la ya. Memang ada wanita malah ramai wanita yang membantu pasangannya dalam bentuk kewangan. Yelah, bukan apa, sesekali ‘top-up’kan ‘handphone’ contohnya, lagi pun bukannya orang lain..’boyfriend sendiri jugak.

Bagi wanita yang dah berumahtangga, membantu suami dalam bentuk kewangan sekiranya mampu dapat juga meringankan bebanan kewangan suami dan keluarga. Apatah lagi sekiranya suami mengalami masalah kewangan.

Sesekali itu biasa. Luar biasa jika sanggup berhabis untuk pasangan sampai hidup sendiri nak makan pun takde sedangkan lelaki itu terus-menerus “menyedut” anda sampai tinggal rangka!

Bagi wanita yang dah berkahwin pula, suami menghabiskan wang ringgit isteri sehingga tahap duit isteri duit dia, duit dia duit dia sedangkan dalam masa yang sama suami mampu berhibur dan berfoya-foya tanpa menghulur sesen pun nafkah untuk isterinya.

Antara tujuan lelaki seperti ini ialah supaya anda menjadi papa dan bergantung hanya kepada dia. Secara tak langsung anda dapat dikawal supaya tidak meninggalkannya kerana sumber kewangan anda hanya kepada dia. Situasi ini banyak terjadi kepada wanita yang telah berkahwin dan hanya sedar selepas keadaan menjadi parah.

Penderaan Fizikal seperti yang anda sedia maklum adalah tindakan ganas seperti memukul, menampar, menumbuk, menolak, menggunakan senjata, kunci anda dalam bilik, menarik rambut dan sebagainya yang berbentuk fizikal.

Secara Spiritual pula selalu menyatakan kepada isterinya bahawa isteri akan jadi derhaka sekiranya menentang atau melawan suami. Kebanyakan lelaki seperti ini menggunakan ayat ini untuk menakutkan dan melemahkan wanita. Dalam masa yang sama dia melayan isterinya dengan buruk dan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

Suka juga saya tambah di sini, bagi yang sedang ‘bercouple’ tu, sekiranya ‘boyfriend’ anda merajuk atau marah kerana anda tolak kehendaknya, seperti mencium anda atau lebih jauh lagi melakukan hubungan sex sebelum kahwin, ini bermakna dia tidak menghormati anda sebagai wanita dan mempermainkan hak anda untuk mempertahankan kesucian diri seperti yang dituntut oleh agama.

Secara undang-undang pula berlaku sekiranya telah bercerai, lelaki tidak memberi nafkah kepada anak yang telah ditentukan oleh pihak mahkamah. Atau sengaja tidak hadir ke mahkamah dengan sengaja untuk melambat-lambatkan proses mahkamah dengan niat supaya isteri terpaksa menunggu lama untuk mendapat pembelaan dan sebagainya.


Seseorang lelaki itu boleh dikatakan sebagai pilihan yang berbahaya untuk anda ‘dating’ atau berpasangan dengannya sekiranya dia:

• Mahukan anda berhenti kerja atau bertukar rakan-rakan hanya kerana dia sahaja.

• Tidak menghormati masa anda untuk bersendirian/‘privacy’. Apa anda nak buat semua dia nak tau. Kalau petang anda telefon dia, kena ‘hantar report’ apa yang anda buat sebelum tu dan apa yang anda nak buat selepas itu. Senang cakap apa saja anda buat dan nak buat dia nak tahu.

• Suruh anda buat perkara yang anda tak selesa buat seperti menipu bagi pihaknya, pinjamkan dia duit sedangkan baru seminggu dua kenal.

• Mendesak ingin selalu berjumpa anda. Hari ni baru jumpa, esok nak jumpa lagi. Dua tiga hari kemudian nak jumpa lagi. Anda kata sibuk atau ada hal, dia pujuk. Anda tetap kata tak boleh dia mendesak juga.

• Ada reputasi menipu.

• Kaki judi, peminum arak.

• Menggunakan dadah atau pil-pil khayal.

• Pernah gagal dalam banyak perhubungan cinta yang lepas dalam sejarah hidupnya. Berapa kali nak kata banyak ya? Kalau umur baru 25 tahun dah gagal bercinta 5-6 kali tu banyak tu… Cinta monyet tak kira!

• Tidak memuji malah menampakkan sikap tidak suka kepada kedua ibu bapanya sedangkan anda dapat rasa dan tau kedua ibu bapanya bukanlah orang yang jahat. Walau pun kedua ibu bapanya ada membuat kesalahan, memburukkan kedua ibu bapa sendiri lebih-lebih lagi pada peringkat baru anda kenali dia menunjukkan sesuatu yang tidak kena dengannya.

• Mempunyai sejarah telah didiagnosis mengalami masalah tekanan jiwa atau “mental illness”

• Tidak berkerja,(Sebab pemalas) Ada sahaja alasan sedangkan anda lihat dia bukanlah sakit atau bodoh.

• SELALU bertukar-tukar kerja atau dipecat dan SENTIASA memberi alasan menyalahkan orang lain sebab kehilangan kerjanya itu.

• Ingin mengawal fesyen rambut anda, pakaian anda, sikap dan cara anda, rakan-rakan atau dengan siapa anda berkawan dan kerja anda pun dia nak kawal juga.

• Menyembunyikan sesuatu maklumat penting tentang dirinya yang anda hanya tau kemudian. Sebagai contoh, dia kata dia bujang, rupanya duda, memanglah duda tu bujang..tapi kenapa tak cakap awal-awal dia pernah kahwin.

• Merasakan dirinya saja yang istimewa, unik dan lebih baik berbanding orang lain.

• Percaya undang-undang untuk orang lain, dia tak tertakluk pada undang-undang dan boleh buat apa yang dia suka.

• Terlalu menarik dan peramah lebih dari kebiasaan. Perlu ambil perhatian di sini, lelaki yang ‘handsome’, cute, ‘smart’, peramah dan boleh membuat perempuan tertarik padanya dengan cepat sekali dari segi penampilannya, caranya, fizikalnya atau apa saja pada dirinya, anda perlu berhati-hati.



Perbezaan di antara wanita yang bersama/berpasangan hanya sekali sahaja dengan lelaki berbahaya berbanding wanita yang kerap berjumpa/berpasangan/ dengan lelaki seperti ini ialah wanita yang pertama itu ‘terbuka’ untuk belajar dan kenal dengan cepat kesilapannya.

Wanita kedua pula tak mahu belajar, banyak memberi alasan atau gagal ‘membuka’ minda untuk mendapat pengajaran.

Hasilnya wanita yang pertama akan lebih kuat, berkeyakinan, berfikiran positif dan akhirnya mampu bertemu cinta sejati dengan lelaki yang ‘sihat dan selamat’.

Wanita kedua pula, akan terus derita..itu saja!

Anda dalam golongan yang mana?

Kesilapan BERBAHAYA Hampir Semua Wanita Lakukan Dengan Lelaki Dan Macam ana Nak Mengelakkannya

Dalam banyak-banyak kesilapan wanita lakukan dengan lelaki yang mereka minat, sayang, cinta, kesilapan yang ini boleh dikatakan paling berbahaya.

Boleh saya katakan, kesilapan ini adalah punca kebanyakan masalah lebih besar yang boleh berlaku seterusnya dalam perhubungan mahupun hidup.

Lelaki pun ada buat perkara sama, tapi diterjemahkan dalam bentuk yang berbeza.

Apa dia kesilapan tu?

“Membenarkan diri anda menjadi SANGAT EMOSI/EMOSIONAL di samping pasangan anda dalam bentuk negatif dan merosakkan diri.”

Letusan emosi ni boleh berlaku tanpa disedari dan sekejap saja pun dah cukup untuk merosakkan segalanya.

Sesuatu masalah yang besar pada anda, amat mengganggu dan tependam, bila dikeluarkan dengan ‘letusan emosi’ sebegini mampu merobohkan perhubungan anda MUNGKIN selamanya!

Apa pulak kaitannya dengan bagaimana lelaki bertindak balas?

Sebenarnya, membuat perkara seperti ini menunjukkan kepada lelaki/pasangan anda bahawa anda mempunyai masalah Emosi Yang Tidak Terkawal. Tidak ada perkara lain yang boleh menakutkan lelaki selain dari mempunyai pasangan yang dilihatnya mempunyai emosi yang negatif.

Saya cerita sikit ya..

Katalah anda ‘dating’ dengan lelaki yang anda minat, anda selesa dengannya, perasaan positif, kepercayaan, idea serta harapan tentang arah tuju dan masa hadapan perhubungan wujud dalam diri.

Perkara macam ni biasa berlaku.

Perasaan positif yang dirasakan ini selalunya amat membantu anda untuk melihat jauh kehadapan melangkaui perasaan TAKUT dan negatif yang wujud dalam diri akibat kenangan buruk perhubungan/cinta yang lalu dengan lelaki.

Perasaan positif ini juga menjadi pendorong untuk anda ‘mencuba’ mempunyai pasangan dan hubungan baru.

Dalam keadaan ini, kemungkinan anda berkata pada diri;
“Kali ni perhubungan aku ni amat berbeza dari dulu”

“dia ni lain la, tak sama macam yang dulu, dia tak mungkin buat perangai macam pasangan yang lepas..”

“aku sekarang ni dah makin matang, takkan benarkan lagi perngalaman buruk lepas berulang, ini masa untuk cinta sebenar..”

Tapi hakikatnya anda tak berubah apa pun. Yang berubah hanyalah masa dan situasi.

Dalam diri anda masih lagi wujud dan bertapak perasaan TAKUT dikecewakan, pengalaman buruk cinta lama berulang dan perkara negatif lain yang dilalui dengan pasangan lepas.

Bila tiba pada tahap tertentu dalam perhubungan anda yang baru ni, pasti akan berlakunya perselisihan faham atau konflik. Pada masa inilah, tanpa disedari, anda rasa ada sesuatu yang tak kena dengan perhubungan ini. Anda rasa seperti keliru. Konflik yang kecil pun boleh jadi besar.

Dalam keadaan ini, segala perasaan negative dan TAKUT kesan pengalaman cinta lalu yang bertapak dalam diri mula muncul semula.

Anda dah mula berfikir;

“Ahh..lelaki semua sama je, pentingkan diri!”

“Lelaki baik memang dah takde dah..”

“Agaknya memang dah takdir aku ke asyik jumpa lelaki yang macam ni..”

“Leceh bercinta-cinta ni, kahwin jer terus, lepas tu cerita lain kalau nak bercinta pun..”

Dan macam-macam lagilah yang anda sendiri pun mungkin tau.

Untuk pengetahuan anda, fikiran yang semacam ini MENGARUT!

Perasaan negatif ini adalah hasil dari KETAKUTAN. Dari perasaan takut inilah timbulnya segala sifat dan fikiran negatif yang menutup sifat positif dan optimis yang wujud dalam diri terhadap perhubungan anda yang membantu mencipta suasana dan perhubungan bahagia.

Bila datang sifat negatif hasil perasaan takut itu, anda tak dapat mengawal emosi anda.

Bila ini berlaku, ia merupakan resepi untuk menjauhkan lelaki yang PALING mujarab sekali!

Lelaki TAKKAN mahu terlibat dalam sesuatu perhubungan dengan wanita yang di awal perhubungan sangat optimis dan boleh mengawal emosi tetapi sebaliknya terjadi bila konflik melanda.

Kita lihat ya, bila wanita nampak/rasa lelaki mula tiada komitmen setelah perhubungan semakin intim, lelaki seolah-olah semakin jauh, wanita mula ‘gelabah’.

Bila lelaki tak jawab panggilan atau kelihatan menarik diri dalam perhubungan, wanita mula berasa bimbang, sedih, kecewa dan mula bertindak mengikut perasaan takut tersebut.

Bila wanita mengesan/merasa lelaki tak berkongsi perasaan yang sama bila berlaku masalah atau lelaki seolah-olah tak berkongsi kesedihannya, perasaan tak selesa timbul dan rasa seolah-olah lelaki tak sayangkan mereka.

Apa yang saya nak sampaikan di sini, kalau anda benarkan diri anda terlalu mengikut emosi, benarkan ketakutan dalam diri menguasai anda dalam situasi atau konflik bersama lelaki/pasangan anda, dalam masa sama bergantung kepada dia untuk menstabilkan/kestabilan perasaan dan emosi anda, anda merosakkan segalanya..JAMIN!

Lebih teruk lagi, anda cuba bercakap dengan pasangan dan meluahkan semua perasaan dan ketakutan anda tentang perhubungan dalam keadaan emosi menguasai diri.

Anda buat macam ni, dah sah menjahanamkan perhubungan anda!

Tapi mungkin anda kata, “Biasa la, wanita memang lembut hati, senang tersentuh dan adakalanya emosi ni mungkin bagus. Perasaan pulak, kan ada masanya kita kena ambil kira contohnya perasaan boleh bagi tau sesuatu kalau ada yang tak kena.”

Lagi satu, “Bukan ke perasaan dan emosi membolehkan kita merasai pengalaman dalam hidup, manis bercinta dan sebagainya dengan lebih dalam dan sepenuh hati?”

Lagi, “Bukan ke kalau kita tak pedulikan atau cuba mengelak dan mengubah perasaan sendiri tu akan mengubah diri kita yang sebenar?”

Ok..saya terangkan..

Emosi ni ada dua. Satu positif yang berdasarkan ‘kegembiraan’ dan ‘negatif’ berdasarkan ketakutan.

Emosi positif membuat anda rasa selesa, lega, gembira dan negatif membuatkan anda rasa tertekan, sedih, kecewa, takut dan sebagainya.

Pernah tak anda rasa kecewa, marah, sedih bila anda hanya nak pasangan mendengar dan bagi perhatian tentang apa yang anda nak cakap tapi dia macam tak sepenuh hati mendengar. Dia nampak seolah-olah ambil ringan, macam nak tak nak jer, lebih teruk lagi dia macam buat bodoh.

Lepas tu anda kecewa dan rasa marah seolah-olah anda diperlakukan macam orang lain, bukan pasangan atau kekasih/isteri.

Kalau pernah lalui..ada sesuatu saya nak ajarkan pada anda..

Emosi ni boleh ‘merebak’, ‘berjangkit’ macam virus.

Dengan kata lain, bila anda beremosi, perasaan tu mudah dipindahkan kepada orang yang anda sedang berkongsi cerita tu. Lagi kuat perasaan dan emosi, lagi banyak ia dipindahkan dan boleh mempengaruhi dan memberi kesan terhadap orang lain walaupun pada masa tu tahap emosi dia ‘membina’, positif dan tahap emosi anda pula negatif dan ‘memusnahkan’.

Bila emosi jadi terlalu tinggi dan kuat, ia akan mengambil alih fikiran dan diri anda. Hasilnya tingkahlaku dan perasaan anda dipengaruhi.

Saya bagi contoh, anda tengok filem sedih, sedih sangat sampai anda pun rasa sedih sama sehingga menitiskan air mata. Emosi sedih pelakon dalam filem tu dapat dirasai anda sebagai penonton dan mempengaruhi perasaan anda. Ini contoh yang mudah saja macamana emosi berjangkit dan boleh dipindahkan.

Dengan lelaki/pasangan pula, bila anda rasa semakin intim, dekat dengan dia, dia pulak kelihatan semakin jauh dan seolah-olah meninggalkan anda, ini membuatkan anda takut, ‘gelabah’ dan bimbang.

Bila ia semakin kuat, emosi tersebut ‘menjadi anda’, dan anda bertindak di luar kawalan hasil dorongan emosi itu secara sedar atau tidak.

Emosi boleh ‘menipu’ dengan cuba menjadikan anda mengawal pasangan supaya anda rasa selesa seperti sediakala.

Seterusnya, dari sepatutnya anda nak berkomunikasi dan bercakap tentang apa yang anda rasa dan apa masalah anda, anda tanpa sedar telah cuba membuatkan pasangan anda MERASA kekecewaan dan kemarahan anda tu.

Pada masa tu anda rasa semuanya telah dikeluarkan, rasa lapang dada dan lega kerana apa yang terbuku di hati dah dihamburkan tetapi ia hanya kelegaan untuk masa pendek dan sekejap sahaja.

Kesan jangka panjang akan menyusul kemudian…

Kesilapan Wanita Lakukan Yang Menyebabkan Lelaki Meninggalkan Mereka

Apa agaknya sebab lelaki meninggalkan wanita atau pasangan mereka ya?

Sebelum bagi jawapan, saya ingin anda tahu, berkenaan hal ini wujud 2 jenis wanita:

Pertama: Jenis wanita yang jarang sekali melihat atau mengaku bahawa mereka berkemungkinan adalah punca kegagalan sesuatu perhubungan itu. Dia berasa bahawa dia telah membuat yang terbaik dan segalanya demi perhubungan. Sekiranya wujud konflik atau masalah, ia disebabkan oleh pasangannya atau lelaki.

Kedua: Jenis wanita yang bila berlaku konflik atau bila pasangannya mula hilang minat terhadapnya dia akan rasa punca berlaku demikian adalah disebabkan dia. Dia rasa seperti ada tindakan atau percakapannya yang telah menjadikan lelaki itu hilang minat dan seterusnya mencetuskan masalah dalam perhubungan. Tidur tak lena, buat kerja apa pun takde tumpuan sebab asyik fikir apa salah silap yang dia dah buat.

Kebanyakan wanita yang gagal dalam perhubungan lebih ramai berada dalam jenis kedua di atas. Ramai yang asyik terfikir dan tercari-cari apakah yang telah mereka lakukan hingga menyebabkan lelaki meninggalkan mereka.

Dalam hal ini, banyak faktor yang boleh menyebabkan konflik dan kegagalan anda dalam perhubungan dengan lelaki tapi faktor yang paling berbahaya adalah anda TAK SEDAR kesilapan apa yang anda lakukan.

Untuk anda mendapatkan satu perhubungan jangka panjang yang bahagia dan berjaya dengan lelaki, anda MESTI sedar dan faham sepenuhnya apakah perkara-perkara anda lakukan yang boleh menyumbang ke arah gagalnya perhubungan dan mengakibatkan lelaki menarik diri. Ini 3 daripadanya:

Kesilapan Pertama: Wanita tidak mempedulikan atau TIDAK FAHAM keperluan perasaan lelaki. Bila perkara ini terjadi, peluang amatlah tinggi untul lelaki menjauhkan diri dari anda.

Kebanyakan wanita menganggap cara lelaki berfikir adalah sama dengan cara mereka berfikir. Oleh itu wanita seringkali melayan lelaki mengikut cara yang
mereka rasakan bahawa itulah yang terbaik. Malangnya niat baik mereka itu lebih menjauhkan lelaki dari mempunyai ikatan perasaan yang kukuh bersama mereka.

Wanita kebanyakannya suka bila emosi mereka dibelai begitu juga lelaki cuma bila dengan lelaki caranya berbeza.

Bila sebut tentang keperluan perasaan atau emosi lelaki, yang penting ialah apa yang mereka rasa bila bersama anda. BUKAN apa yang anda rasa! Anda sebagai wanita, secara sedar atau tidak, andalah yang mencipta suasana sama ada lelaki tersebut ingin terus bersama anda atau sebaliknya.
Kadangkala anda tak sedar tindakan anda telah mengancam egonya, menunjukkan anda seolah-olah mengawalnya, menimbulkan kembali kenangan pahit masa silam atau mencetuskan perasaan tidak selamat dan selesa lelaki bila bersama anda.

Banyak keadaan juga bila anda rasa anda buat sesuatu yang baik, hanya untuknya tetapi tindakan anda bukan mendekatkan malah menjauhkan lagi anda dan dia.

Sifat semulajadi wanita yang manja, suka membelai dan memberi(melakukan sesuatu untuk pasangan) memang menjadi tarikan kepada lelaki. Namun bila anda memberi atau melakukan sesuatu terlalu banyak dan apa saja untuknya ia akan ‘melemaskan’ lelaki dan berkemungkinan memberi tanda padanya bahawa anda ingin mengawalnya.

Anda mungkin berkata, “Mana ada saya nak kawal dia, saya hanya berikan segalanya yang terbaik untuk dia dan perhubungan!” Itu betul, tapi ‘signal’ yang dia dapat tak sama dengan apa yang anda fikirkan dan dia berkemungkinan jadi lebih jauh dari anda.Dia juga kemungkinan berasa anda terlalu hebat dan tidak sepadan untuknya.

Sifat semulajadi lelaki yang asas ingin menjadi seorang yang
diperlukan oleh wanita. Lelaki ingin tahu adakah dia mampu memberi perlindungan, kegembiraan, memenuhi keinginan dan juga kepuasan terhadap pasangannya sekaligus menjadi ‘hero’ yang boleh di harapkan. Sekiranya dia dapati wanita tersebut terlalu hebat, maka dia akan menarik diri perlahan-lahan.

Penyelesaiannya, saya bukan nak suruh anda berlakon atau pura-pura tak hebat , tetapi anda hanya perlu menggunakan sifat kewanitaan anda untuk menunjukkan dan membuat lelaki berasa bersama anda dia berada dalam keadaan yang selesa dan selamat. Kalau dia seolah-olah jauh dari anda sebelum ini, maka dengan cara itu anda akan dapat mengetahui apakah yang menjadi sebab terhadap tindakannya itu.

Kesilapan Kedua: Kesilapan biasa yang berlaku adalah wanita cuba membetulkan atau mengubah lelaki. Tidak menjadi kesalahan jika anda ingin pasangan anda menjadi lelaki yang lebih baik dan hebat. Saya juga tidak kata kalau ada perangai buruk pada dirinya tidak perlu dibuang dan diubah. Lelaki pula tidak menolak perubahan yang patut dilakukan sekiranya perlu.

Maksud saya, bila wanita sayangkan seseorang lelaki itu, dia cuba mengubah lelaki itu dengan cepat dan mendadak. Lelaki akan terfikir, adakah anda sayangkan dirinya pada masa ini atau dirinya yang ada dalam fikiran anda setelah dia berubah nanti? Kena faham, lelaki tidak suka dirinya cuba diubah dengan cepat dan mendadak oleh pasangannya – begitu juga wanita!

Kena ingat ya..kalau anda berjaya mengubah dirinya atau apa yang anda tak suka dia buat atas alasan ‘ini untuk kebaikan perhubungan’ atau supaya hati anda senang..’perubahan itu kemungkinan besar takkan lama bertahan!’

Jadi macamana nak buat? Penyelesaiannya ialah anda perlu menjadi wanita atau pasangannya yang mampu membuat
dia sendiri inginmenjadi lelaki yang lebih baik! Anda membuatnya berubah sebab dia fikir dia sendiri nak berubah, bukan sebab anda yang suruh sedangkan dalam masa yang sama dia tak perasan bahawa itu adalah hasil kerja anda! Andalah hakikatnya yang menjadi pencetus perubahannya tanpa dia sedari. Nampak apa yang saya sampaikan?

Ini adalah “skill” yang perlu anda ada membolehkan anda membuatkan pasangan anda berubah menjadi lelaki yang diimpikan dan hebat seperti semua wanita inginkan. Mungkin dari kuat merokok berhenti terus, mungkin kaki melepak kat kedai kopi dah kurang atau tak lagi dan macam-macam lagilah.

Kesilapan Ketiga: Seperti mana wanita, lelaki juga hanya ingin bersama orang dan pasangan yang menyenangkan hati. Sekiranya seseorang itu terlalu banyak menimbulkan isu sampai tahap macam dalam drama, ini akan menjauhkan lelaki.

Lelaki ingin dan senang bersama wanita yang ceria dan mempunyai keyakinan dalam diri. Sebab itu
senyuman wanita merupakan satu senjata yang amat berkesan dalam menarik hati lelaki. Senyuman juga memberi maksud anda selesa bersamanya.

Walau bagaimana pun, ramai wanita tak sedar mereka selalu mencipta suasana yang tegang dalam perhubungan. Suasana macam dalam drama ni selalunya dalam bentuk bercakap tentang perasaan dan emosi anda dan lelaki selalunya akan cuba mengelakkan diri dari terperangkap dengan situasi ini.

Kalau anda jenis wanita yang terlalu sensitif, mudah terasa, mudah terluka, mudah marah dan tersinggung dengan apa yang pasangan anda atau orang lain lakukan atau kata, anda akan dengan cepat dan mudah menjadi wanita yang lelaki rasa tidak selesa bersama. Akibatnya dia akan mula menjauhkan diri dari anda. Sekiranya dalam perhubungan cinta, kemungkinan anda akan merasa dia semakin jauh dari anda.

Lelaki akan cuba menjauhkan diri dari wanita yang mempunyai dan menunjukkan emosi yang tinggi. Lebih-lebih lagi sekiranya emosi wanita tersebut boleh mencetuskan suasana tegang ketika berbincang tentang sesuatu. Sesekali ia terjadi, perkara biasa tetapi bila ia asyik terjadi dan bila masa berbincang saja anda menunjukkan emosi anda, lelaki akhirnya akan cuba menjauhkan diri dari punca ketegangan tersebut – iaitu anda.

Sebagai contoh, bila berbincang tentang keadaan perhubungan anda dengan pasangan, anda menangis tersesak-esak, bila dia bertanya anda diam. Satu jam anda hanya diam dan setelah puas dia memujuk anda tetap mendiamkan diri. Ini saja cukup untuk membuat dia merasa tekanan hasil dari emosi anda. Ini tidak termasuk lagi pertanyaan yang bertalu-talu dari anda sehingga keadaan menjadi ‘panas’. Kalau anda nampak dia jalan berpegangan tangan dengan wanita lain itu bab lain ya..itu saya fahamlah anda dah tentu mengamuk! Ini maksud saya bila berlaku saja konflik atau perbincangan perkara seumpama ni berlaku, maka lelaki akan mula ‘trauma’ dan menjauhkan diri dari anda.

3 kesilapan di atas saya terangkan hanyalah sekadar secara asas dan dipermukaan sahaja dari banyak lagi kesilapan yang anda sebagai wanita mungkin tak perasan anda lakukan.

Kunci kepada perhubungan jangka panjang yang bahagia dengan lelaki adalah anda sebagai wanita perlu meningkatkan kefahaman anda tentang bagaimana lelaki ‘berfungsi’. Cara lelaki berfikir, apa yang menjadi pendorong kepada lelaki, apakah perkara yang lelaki takut dan menakutkan dia, apa yang membuat lelaki rasa terancam dalam perhubungan, apa yang menutup perasaan lelaki dari membuka hatinya dengan mudah, rela dan senang hati untuk anda, dan apakah yang membuatkan lelaki ingin bersama dengan seseorang wanita itu dan kekal ingin bersama hanya dengannya sahaja.

Ramai pakar dan bukti yang menunjukkan bahawa
wanita, bukan lelaki yang mempunyai kuasa dan pengaruh untuk menentukan kebahagiaan dan arah tuju perhubungan di antara wanita dengan lelaki. Wanita memang amat sukar mengubah lelaki tetapi wanita mempunyai kuasa untuk membuat lelaki berubah dengan kerelaannya sendiri. Wanita juga boleh membentuk sikap lelaki dengan memberi tumpuan terhadap keinginan lelaki.

Wanita mempunyai kuasa untuk menarik cinta, kesetiaan dan kejujuran lelaki kepadanya hanya sekiranya wanita tahu menggunakannya dengan betul dan berkesan.

Adakah anda ingin mengetahui cara
“Bagaimana Untuk Membuatkan Lelaki Mencintai Anda… HANYA Anda Sahaja Selamanya?”

Adakah anda ingin mengetahui cara
“Bagaimana Untuk Menjadi Wanita Yang Mempunyai “Kuasa” Mempengaruhi Lelaki”.. dan lelaki akan dengan “rela” membenarkan anda mempengaruhinya dalam masa yang sama?

Jika begitu, saya ada berita baik untuk anda. Sekiranya anda masih lagi “single”, ingin mencari pasangan, sedang bercinta, atau ingin menyemarakkan lagi api cinta di dalam perhubungan, atau juga perkahwinan anda, tunggu pelancaran Ebook saya dalam masa yang terdekat ini.

Dalam Ebook ini saya akan terangkan kepada anda apa yang diketahui oleh wanita-wanita yang cemerlang dalam perhubungannya.

Mereka seolah-olah mempunyai karektor-karektor tertentu yang tanpa henti memukau lelaki dalam hidupnya. Saya akan terangkan bagaimana untuk anda mampu berfikir dan bertindak seperti wanita-wanita ini.

Ebook ini ditulis untuk anda lakukan
“apa yang boleh dijayakan dan berhasil”. Dengan “meningkatkan diri anda”, anda akan mampu mempengaruhi pasangan atau menarik dan bertemu dengan seseorang yang istimewa dalam hidup anda.

Ini adalah berkenaan perubahan positif yang boleh anda lakukan terhadap diri anda yang akhirnya akan membawa kepada perubahan yang positif juga terhadap perhubungan anda. Perubahan-perubahan ini akan membawa kepada komunikasi yang lebih baik, keintiman yang bertambah, dan juga kefahaman tentang bagaimana sesuatu masalah itu boleh timbul.

Antara kandungan Ebook saya nanti ialah:

# Bagaimana caranya untuk menggunakan sifat “feminin” anda untuk melemahkan, menembusi sistem pertahanan dalam hatinya dan jadikan dia seorang lelaki yang sensitif dan amat penyayang terhadap anda – seperti yang anda inginkan selama ini.

# Bagaimana untuk mengelakkan luka lama di hati daripada mensabotaj peluang anda untuk mendapatkan dan mempunyai sebuah perhubungan yang berjaya.

# Bagaimana untuk membuat seorang lelaki rasa difahami oleh anda. Kuasai rahsia ini dan anda boleh minta hampir apa sahaja dari pasangan anda – dan dia dengan sukarela memberikannya.

# Bagaimana dengan hanya menjadi diri anda sendiri, anda tetap akan disayangi dan dicintai!

# Kenapa sesetengah wanita tanpa sedar menolak lelaki yang baik atau sentiasa memilih lelaki yang tidak baik – Kenali perbezaan di antara dua perkara yang saya jelaskan supaya anda tidak lagi membenarkan diri anda untuk tersalah pilih lelaki

Friday, May 1, 2009

60 Petua Mendapat Pasangan

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...